PESANAN PENGENDALI BLOG KEPADA SEMUA AHLI ILMU

Imam Ibnu Asakir, Imam al-Khatib dan Imam al-Hafiz al-Mizzi meriwayatkan sebuah hadis yang berbunyi:

"Apabila akhir umat ini melaknat (generasi) awalnya, maka hendaklah orang-orang yang mempunyai ilmu pada ketika itu menzahirkan ilmunya, sesungguhnya orang yang menyembunyikan ilmu pada waktu tersebut seumpama seseorang yang menyembunyikan apa yang telah diwahyukan kepada (Sayyidina) Muhammad Salallahu Alaihi Wassalam!!!"

Maka apabila lahir golongan yang mencaci dan melaknat para ulama' empat mazhab terdahulu yang mengikut generasi Salafus Soleh, apakah yang telah kita lakukan???

"Mengenal Allah dengan ilmu seperti mendengar gula tapi belum merasai,
Mengenal Allah dengan hati seperti merasai gula"
- Sultanul Auliya Syeikh Abdul Qadir al-Jailani.

Your heart will go back to you.

Your heart will go back to you.
click the picture for more

Tuesday, April 26, 2011

TOKKU PALOH

[tokku+paloh.jpg]
Gambar: Anak Murid Tokku Paloh, Abdul Rahman Limbong

Biodata Tokku Paloh

 Nama sebenar: Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus.
 Asal: Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu, Terengganu.
 Tahun lahir: 1817
 Tahun wafat: 1917 (usia 100 tahun)
 Sumbangan: Ulama besar Terengganu pada abad ke-19.

Penasihat utama Sultan Zainal Abidin III semarakkan semangat jihad Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau tentang penjajah British di Pahang.
ULAMA Besar Terengganu pada abad ke-19, Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus atau Tokku Paloh Idrus, turut dikenali sebagai wali Allah yang penuh keramat serta sangat ditakuti penjajah.
Diceritakan pada suatu ketika, British cuba berunding dengan Sultan Terengganu iaitu Sultan Zainal Abidin III supaya membenarkan mereka menduduki kawasan Bukit Besar tetapi baginda menyuruh penjajah itu menemui Tokku Paloh.
Baginda menyebut, “Terengganu ini ada tuannya, hendaklah berunding dengan tuannya terlebih dulu,” yang mungkin bermaksud bahawa Tokku Paloh adalah orang yang lebih berhak memutuskan permintaan berkenaan.
Mendengar jawapan Sultan Terengganu itu, sepasukan pegawai British kemudian bergerak ke rumah ulama itu untuk berunding. Tokku Paloh mengatakan bahawa mereka boleh ‘mengambil’ Bukit Besar dengan syarat bukit itu dibawa balik ke negeri mereka.
“Kalau untuk mencampuri urusan pentadbiran kami, saya menolak walau atas alasan apa sekalipun tapi kalau hendak tanah, silakan. Isikan ke dalam armada tuan sebanyak mana yang pihak British mahu, ambillah tanah,” demikianlah jawapan ulama besar itu.

Thursday, April 21, 2011

Siapakah Ulamak ya?

Kebelakangan ini, ramai sungguh yang bertanya saya persoalan sebegini:

“Ustaz, siapa yang dikatakan ulamak itu?”
“Berapa lama tempohnya nak jadi ulamak ya?”
“Selepas berapa lama jadi pendakwah baru orang tu boleh diiktiraf menjadi ulamak ya?”

Kalau nak jawab cara ilmiah universiti panjang berjela. Sebenarnya sudah banyak pun yang ditulis. Tapi ramai yang tidak membacanya, mungkin kerana jemu, malas atau tak ada masa. Jadi, saya jawab secara ringkas berdasarkan beberapa nas Al-Quran dan Hadis dan bukan penerangan cara universiti ya.
Mudahnya ulamak adalah jama’ (plural) kepada perkataan ‘alim. ‘Alim pula yang berilmu. Bila disebutkan ‘alim dalam kefahaman kita adalah yang berilmu agama. Kriteria nak jadi ulamak yang hakiki banyak sangat. Antaranya:
1) Allah Ta’ala berfirman:
إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ
Hanya yang takutkan Allah di kalangan hamba-hamba-Nya adalah Ulamak
Sayyidina Anas berkata: Sesiapa yang tidak takutkan Allah bukanlah orang alim.
Jadi, kriteria utamanya mestilah takutkan Allah. Kalau berani lawan Allah, sertai golongan sekular yang menentang hukum Allah, walau ada PhD bertimbun pun tak dikira ulamak. Inilah yang menyebabkan istilah “Ulamak UMNO” sebenarnya tidak sah dan tidak boleh wujud.
Begitu juga yang tidak beradab dengan para ulamak agung yang lain, maka bukanlah dia seorang yang alim. Salah satu tanda seseorang itu takut pada Allah adalah dia mencintai para kekasih Allah dan tentu sekali menjaga lidahnya dari berkata buruk kepada mereka. Bekas mufti sekalipun, kalau lidah biasa berkata nista pada Imam Al-Ghazali, Imam Annawawi dan lain-lain, maka bukanlah seorang alim dalam erti kata sebenarnya. Begitu juga yang berkata “Dr Haron Din ulamak kepala lutut,” walau rajin menulis blog dengan tulisan yang dipenuhi Al-Quran, Hadis dan petikan kitab, maka bukanlah dia seorang yang wajar dijadikan rujukan mahupun digelar seorang alim.
2) Dalam sebuah hadis yang sahih:
وإنما العلم بالتعلم
Dan ilmu itu (didapati) dengan ta’allum (dipelajari dari guru).
Hadis ini sebenarnya sambungan kepada hadis yang popular berkenaan sesiapa yang Allah hendakkan baginya kebaikan, Allah akan memahamkannya dalam agama.
Jadi syarat nak jadi ‘alim mesti belajar. Tempohnya? Tentu sekali panjang dengan ilmu yang begitu banyak hendak dipelajari. Bukan hanya membaca buku sendiri. Bukan juga dengan melihat di laman-laman web sahaja. Bukan juga dengan pandai berkata-kata atau menulis. Tetapi mestilah dengan dipelajari secara tersusun dengan tertib dan adabnya, dari guru yang belajar pula dengan gurunya hinggalah kepada Penghulu semua guru-guru, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Hari ini ramai yang hendak boleh bercakap dan menulis ilmu agama. Malah dikatakan “ada 10 juta mufti di Malaysia”. Masing-masing hendak mengeluarkan fatwa. Malangnya, tidak pernah pula belajar. Malah tidak menghormati pula golongan ulamak yang sebenar. Merasakan diri sudah alim hanya semata-mata dengan pembacaan di sana sini.
3) Hadis sahih yang lain pula:
إن العلماء ورثة الأنبياء
‘Sesungguhnya ‘ulamak adalah waris para nabi’

Apa yang mereka warisi? Tentu sekali ilmu. Apa yang patut ada pada mereka? Menyambung perjuangan, dakwah dan kepimpinan para Nabi. Mereka yang berpeluk tubuh sahaja bukanlah para ulamak. Waris Nabi yang sebenar tentulah menyedari tanggungjawab ilmu yang mereka warisi dari para Nabi. Tanggungjawab yang tersangat berat.

Malah inilah yang disebutkan dalam hadis yang lain bahawa apabila ilmu itu diangkat oleh Allah dengan mematikan para ‘ulamak, maka manusia akan mengangkat orang yang jahil sebagai pemimpin, sesat lagi menyesatkan. Bermakna selagi ‘ulamak hidup, mereka perlu memimpin masyarakat, menyelamatkan masyarakat dari kesesatan, selayaknya tugas sebagai waris para nabi.
Hari ini ada yang mengatakan ulamak sepatutnya jauh dari politik dan permasalahan negara. Ulamak perlu berceramah dari masjid ke masjid sahaja. Ulamak tulislah kitab (dan blog?). Ulamak duduklah di atas sajadah mendoakan kebahagian ummah. Urusan kepimpinan serahkan sahaja kepada yang lain. Jangan diganggu. Sangat berbahaya pemikiran begini. Nantikanlah kiamat bila semua manusia berfikiran begini, kerana “matilah” ulamak yang sebenar.

Hari ini juga di kalangan mereka yang duduk dalam perjuangan Islam pun hendak mengubah dari “kepimpinan ulamak” kepada “kepimpinan berkebajikan”,  ”kepimpinan bertaqwa” dan sebagainya. Inilah masalahnya apabila tidak menilai dengan neraca Syariat bersumberkan Al-Quran dan Hadis. Lupakah kita, ulamak rabbani, mereka dipimpin oleh Allah. Bagai hadis qudsi yang menyebutkan perihal kekasih Allah. Penglihatan, pedengaran dan pergerakan mereka semua dipandu oleh Allah, berkat amalan mereka yang tentu jauh lebih banyak dari kita. Mana yang lebih baik, pergerakan yang dipandu oleh Allah atau yang dipandu oleh otak yang genius dan pemikiran politikus hebat?

Catatan hujung:
1)      Banyak lagi ciri yang lain yang mungkin boleh disebutkan dari masa ke masa nanti insyaAllah

2)      Pendakwah tak semestinya ‘alim. Ibarat penjual sesuatu produk tidak semestinya arif segala perkara yang dijualnya. Pendakwah ibarat yang mempromosikan produk Islam. Tetapi yang mengerti produk itu sendiri adalah seorang ‘alim. Ada juga yang mengerti produk tapi tak reti nak promosikannya. Maka ‘ulamak yang hebat biasanya ada kedua-duanya.
3)      Gulungan ijazah bukan nilai seorang itu alim atau tidak. Tapi syarat nak jadi alim mesti belajar. Zaman kita biasanya bila belajar dapatlah gulungan ijazah. Tapi tak semua yang dapat gulungan ijazah itu benar-benar belajar. Fahamilah.
4)      Ulamak ada pelbagai peringkat. Dari sehebat seorang Mujtahid Mutlaq, hinggalah seorang mufti, sampai seorang ‘alim biasa.
5)      Maksud Hadith – Seluruh yang berada di langit dan bumi memohon keampunan bagi seorang alim. Untung kan? Siapalah kita berbanding mereka.

Doakan kita semua boleh menjadi seperti mereka, waris sebenar para Nabi, atau sekurang-kurangnya termasuk dalam golongan yang mencintai mereka. Mudah-mudahan di akhirat nanti kita dibangkitkan bersama mereka. Seronoknya kalau bangun dari kubur nanti, tengok kanan ada Imam Al-Ghazali, tengok kiri ada Imam An-Nawawi, tengok depan ada Imam Assyafie…

Sumber: Aljoofre 

Syed Abdul Kadir bin Syed Hussin Aljoofre adalah seorang ustaz, penuntut ilmu dan pendakwah yang aktif. Biodata beliau boleh dilihat dilaman beliau di sini.  

Ilmu Jadikan Kita Takut Pada Allah Taala


Pada hari ini, kita melihat rata-rata umat Islam di negara ini sudah mula berjinak-jinak dengan majlis-majlis ilmu dan ulama. Di masjid-masjid dan surau-surau majlis-majlis pengajian ilmu semakin rancak diadakan.
Ia mendapat sambutan yang memberangsangkan dari segenap lapisan masyarakat yang dahagakan ilmu dan pentarbiahan hatta terdapat masjid yang mengadakan majlis pengajian pada setiap malam. Ini suatu perkembangan yang baik kepada peningkatan kualiti umat Islam di negara ini dan agama Islam itu sendiri.
Persoalannya, apakah ilmu yang mereka perolehi ini benar-benar memberikan manfaat dan kesan ke dalam diri mereka?

Ketahuilah, bahawa sebaik-baik ilmu ialah ilmu yang menjelmakan perasaan takut kepada Allah SWT. Iaitu, takut yang disertai perasaan membesarkan Allah dan menumbuhkan amal. Allah SWT telah memuji para ulama melalui firman-Nya:
Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu.(al-Faatir: 28)

Inilah ilmu yang paling bermanfaat kerana ilmulah yang memandu kita ke jalan akhirat. Kalam hikmah ini diungkapkan oleh Sheikh Ibnu Atoillah al Sakandari r.a dalam Hikamnya yang bertajuk al Hikam al Atoiyyah.
Terbukti, kalam hikmahnya ini telah mampu melunakkan hati yang keras, menenangkan jiwa yang resah, mengekang nafsu yang rakus dan mengajak manusia menyelami hikmah-hikmah di sebalik kejadian Allah SWT. Semoga kita mendapat manfaat daripadanya.

Adapun orang alim yang tidak mempunyai perasaan takut kepada Allah bukanlah orang alim yang sebenarnya.
Lebih-lebih lagi, orang alim yang keinginannya untuk mendapatkan kemewahan dunia, kemegahan dan bersikap takbur dengan ilmunya.
Ilmu sebegini hanya akan menjadi hujah ke atasnya di akhirat kelak dan sebab yang akan mengundang bala dan akibat yang buruk kepadanya.

Umar ibn al Khattab r.a pernah berkata,
"Perkara yang paling aku takuti berlaku terhadap umat ini ialah munculnya orang yang alim pada lisan tetapi jahil pada hati".

Ini bukanlah ciri-ciri pewaris para nabi kerana pewaris para nabi memiliki sifat zuhud terhadap dunia, berminat terhadap akhirat, ikhlas menyampaikan amanah ilmu dan bertakwa.
Orang yang memiliki ilmu yang bermanfaat, tidak memiliki sifat bongkak atau takbur, tidak suka mencaci orang lain, berlapang dada, mudah diajak berbincang dan tidak cepat melatah.

Sahl ibn Abdullah r.a pernah berkata:
"Janganlah kalian memutuskan satu urusan dari urusan-urusan dunia dan agama kecuali setelah berbincang dengan ulama. Maka kesudahannya akan dipuji di sisi Allah SWT".

Abu Muhammad r.a pernah ditanya:
"Wahai Abu Muhammad! Siapakah ulama?" Jawabnya: "Orang-orang yang mengutamakan akhirat daripada dunia dan mengutamakan Allah daripada diri mereka sendiri".

Saidina Umar ibn al Khattab r.a pernah mewasiatkan:
"Berbincanglah mengenai urusanmu dengan orang-orang yang takutkan Allah".

Al Wasiti r.a berkata:
"Manusia yang paling pengasih ialah ulama, kerana perasaan takut mereka kepada Allah dan kebimbangan mereka terhadap apa yang diajar oleh Allah SWT".

Banyak ayat dan hadis yang menyebut tentang kemuliaan ilmu atau ulama. Rasulullah SAW pernah bersabda: "Penuntut ilmu dijamin oleh Allah rezekinya".
Ketahuilah, bahawa ilmu yang diulang-ulang sebutannya di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW ialah ilmu yang bermanfaat yang disertai oleh perasaan takut kepada Allah. Bahkan, ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang mampu menguasai nafsu dan mengekang syahwat.
Disebut juga, ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang membantu pemiliknya mentaati Allah, dan berdiri di atas landasan agama Allah.

Sebahagian Salaf berkata:
"Sesiapa yang bertambah ilmunya, maka bertambah jugalah kekhusyukannya (kerendahan hatinya)".

Seorang lelaki bertanya kepada Sheikh Junaid al Baghdadi r.a:
"Apakah ilmu yang paling berguna?" Jawabnya, "Ilmu yang menunjukkan kamu kepada Allah SWT dan menjauhkan kamu daripada menurut hawa nafsumu".

Beliau berkata lagi:
"Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang menunjukkan pemiliknya kepada sifat tawaduk, sentiasa bermujahadah, menjaga hati, menjaga anggota zahir dari melakukan maksiat, takut kepada Allah, berpaling daripada dunia dan penuntut dunia, menjauhi orang-orang yang mengasihi dunia, meninggalkan apa yang ada di dunia kepada ahli dunia, suka memberi nasihat kepada makhluk, baik perilaku terhadap makhluk, suka duduk bersama golongan fuqara, memuliakan kekasih- kekasih Allah dan menghadapkan diri kepada apa yang mereka utamakan.
"Apabila orang alim yang mencintai dunia dan ahlinya, dan mengumpulkan dunia melebihi daripada keperluannya, maka dia akan lalai daripada akhirat dan ketaatan kepada Allah mengikut kadar kecintaannya kepada dunia".

Allah SWT berfirman (maksudnya):
Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat.(al-Rum: 7)

Rasulullah SAW bersabda:
"Siapa yang kasihkan dunia, maka dia telah membahayakan akhiratnya dan siapa yang kasihkan akhirat maka dia telah membahayakan dunianya. Justeru ingatlah, utamakanlah suatu yang kekal (akhirat) daripada yang akan rosak binasa (dunia)".(riwayat Imam Ahmad dan al Hakim)

Fudhail ibn 'Iyadh berkata:
"Orang alim ialah doktor agama dan cinta dunia ialah penyakit agama. Apabila doktor telah memasukkan atau mengheret penyakit ke dalam dirinya, maka bilakah masanya dia boleh mengubati orang lain".

Sesiapa yang ilmunya memandunya kepada menuntut dunia, ketinggian di dalamnya, jawatan dan pandangan makhluk, maka ia adalah ilmu yang tidak bermanfaat. Bahkan, dia tertipu dengan ilmunya.
Tidak ada kerugian yang lebih besar daripada rosaknya orang alim dengan ilmunya yang diharapkan dapat menyelamatkannya. Kami memohon dengan Allah daripadanya.
Ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang diamalkan. Ulama mengumpamakan orang yang menghabiskan banyak waktu menuntut ilmu, duduk selama 40 atau 50 tahun belajar tanpa beramal, seperti orang yang asyik bersuci selama waktu itu dan memperbaharui wuduknya tetapi tidak solat walau satu rakaat.
Ini kerana maksud atau tujuan suatu ilmu ialah beramal dengannya sebagaimana tujuan berwuduk adalah untuk melakukan solat.

Berkata sebahagian ulama:
"Kalaulah ilmu tanpa takwa itu penentu suatu kemuliaan, nescaya semulia-mulia makhluk Allah ialah iblis".


Sumber : YayasanSofa

Wednesday, April 20, 2011

Agama Urusan Ulama

Persoalan peranan ulama kerap diperkatakan kebelakangan ini kerana kedudukannya yang tinggi di mata masyarakat. Namun, kebelakangan ini ada ungkapan yang mempersoalkan perkara tersebut. Perkara ini juga perlu dilihat dari hidayah al-Quran dan sunnah supaya masyarakat dapat melihat kebenaran sebenar pada perkara ini.

Ungkapan seperti: ‘Perubatan moden adalah untuk semua masyarakat’ sudah diterima umum. Namun sekiranya datang Si A berkata: Walaupun saya belajar bertani, namun disebabkan perubatan untuk semua, maka saya juga layak jadi doktor dan boleh mengubat penyakit saudara walaupun saya tidak belajar perubatan. Demikian juga ungkapan: ‘Kejuruteraan moden untuk semua’. Namun datang pula Si B mengatakan: Walaupun saya belajar kedoktoran, saya juga layak menjadi jurutera dan mahu mempraktikkan bidang kejuruteraan.

Masyarakat yang mendengar kata-kata tersebut, pasti beranggapan bahawa sesiapa yang berubat dengan Si A akan menerima bahaya. Begitu juga dengan halnya Si B, masyarakat akan berpandangan bahawa walaupun dia pandai dari sudut perubatan, namun bangunan yang dibinanya belum tentu kukuh dan merbahayakan masyarakat umum.

Kalau demikian kedudukannya, Islam adalah agama untuk semua adalah ungkapan yang sememangnya diterima. Namun adalah tidak betul mengatakan urusan agama, mentafsirkan al-Quran, menghukum kesahihan hadis dan mengeluarkan hukum boleh diberi sebebas-bebasnya untuk masyarakat awam.

Sekiranya seseorang mengamalkan perubatan tanpa ilmunya yang sah, pasti merbahayakan masyarakat dan boleh membawa kematian. Demikian juga urusan agama, sekiranya ditafsirkan dan dihuraikan oleh bukan ahlinya, pasti membawa kepada penyelewengan yang membawa kehidupan sebelum mati dan sesudah mati. Kebiasaannya, mana-mana ajaran sesat datangnya dari pengaruh seseorang kepada masyarakat awam.

Benarlah Firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl, 43 yang bermaksud:
Maka hendaklah kamu bertanya kepada orang-orang yang mengetahui sekiranya kamu tidak mengetahui.


Sabda Rasulullah SAW:
Sekiranya diserahkan urusan kepada orang yang tidak mengetahui tunggulah saat binasa.


Hadis tersebut dengan jelas menghuraikan kebinasaan sekiranya diserahkan urusan kepada bukan ahlinya, lebih-lebih lagi dalam urusan agama.


Pandangan Imam Shafie Rahimahullah:

Berkata Imam al-Shafie Rahimahullah (nasir al-sunnah) dalam kitabnya al-Risalah (Hal: 510) yang bermaksud:
Tidaklah berijtihad (qiyas) kecuali sesiapa yang mempunyai kemampuan iaitu ilmu mengenai kitabullah samada perkara fardhunya, kesusasteraannya (balaghahnya), nasikhnya, mansukhnya, ‘amnya, khasnya dan panduannya. Dia (mujtahid) berdalilkan pada perkara-perkara yang boleh ditakwilkan dengan sunnah Rasulullah SAW. Sekiranya tidak ada, maka dengan ijma’ al-muslimin. Sekiranya tiada ijma’, maka dengan qiyas.


Kemudian Imam Syafie berkata lagi:
Tidaklah boleh untuk sesiapapun berijtihad sehingga ia menjadi alim dengan sunnah-sunnah, perkataan-perkataan Salaf, persepakatan masyarakat dan perbezaan pandangan di kalangan mereka dan mahir bahasa Arab.

Imam Shafie berkata lagi:
Tidaklah boleh untuknya berijtihad (qiyas) sehingga dia merupakan seorang yang berakal sehingga boleh membezakan antara yang musytabih, tidak gopoh untuk memperkatakan sesuatu sehingga ia mempastikannnya.


Tambah Imam besar itu lagi:
Dia (mujtahid) tidak menolak untuk mendengar pandangan orang yang menyanggahnya kerana kemungkinan melalui mendengar tersebut dapat mengelakkan lupa dan menambah keyakinannya pada perkara yang ia yakin kebenaran.


Tegahan Imam Shafie:

Imam Shafie berkata lagi dalam kitabnya al-Risalah (Hal. 511):
Manakala sesiapa yang sempurna akalnya, namun bukan seorang yang berilmu (sebagaimana diperkatakan tadi), tidak halal baginya berijtihad, kerana sesungguhnya dia tidak mengetahui apa yang diijtihadkannya, sebagaimana tidak dibolehkan seorang ahli fiqh memperkatakan mengenai harga dirham walhal dia tidak mempunyai pengalaman di pasar.


Dengan itu benarlah kata-kata Rasulullah: Ulama` adalah pewaris para nabi. Merekalah yang menyambung tugas-tugas masyarakat.

Kesimpulannya, urusan agama ini adalah urusan ulama. Ulama sahajalah yang dapat membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Kebanyakan ajaran sesat dilahirkan apabila 'dibiarkan orang-orang awam mentafsirkan agama sewenang-wenangnya'. Demikian juga aliran sesat menyesat secara taksub pada perkara khilafiyah dalam ibadah diikuti oleh masyarakat awam yang lemah asas agama.

Pada masa yang sama, masyarakat harus mengenali siapakah ulama yang sebenar. Sistem pelajaran moden, yang memisahkan ilmu-ilmu Syariah kepada al-Quran, al-Sunnah, Syariah, Dakwah dan Bahasa Arab telah melahirkan cerdik pandai Islam yang hanya pakar dalam sesuatu bidang ilmu. Seseorang mungkin dikatakan pandai hadith, tetapi tidak mempunyai kefaqihan atau tidak mahir dalam pembacaan nas-nas ulama. Demikian juga sebaliknya. Demikian juga pandai bahasa Arab sahaja tidak memboleh seseorang itu pandai mentafsir al-Quran. Kalau Bahasa Arab sahaja membolehkan seseorang mentafsirkan al-Quran, nescaya semua orang-orang Arab sudah menjadi ulama.

Sekiranyanya, lulusan agama universiti moden ini mengakui kelemahan masing-masing, akan lahir saling bergandingan untuk menegakkan kebenaran. Namun sekiranya graduan tersebut tidak menyedarinya, dan tidak mahu menghadapinya, akan lahir golongan yang disebut oleh ramai professor-profesor Syariah kepada anak-anak muridnya iaitu:
Kamu memasuki universiti dalam keadaan tawaduk, namun kamu keluar dalam keadaan takabbur.


Oleh itu, masyarakat perlu menghormati peranan ulama kita samada dulu mahupun sekarang. Kita mengharapkan institusi ulama terus dihormati kerana peranan besar mereka di kalangan masyarakat.

Wallahu a’lam.

Sumber: Utusan Malaysia, 22 Disember 2006


PenulisDr Asmadi Mohamed Naim

Thursday, April 14, 2011

Sesungguhnya ketakutan, kegelojohan, kemurungan dan sifat amarah tidak wujud di dalam diri para nabi

Harun Yahya



Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang  yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang  dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah;  mereka itulah orang-orang yang benar. (QS. Al-Hujurat, 15)

Firman Allah yang bermaksud, "Percaya sepenuhnya tanpa  ragu-ragu" menjadi prinsip dasar dari keimanan yang sebenar bagi orang-orang yang beriman. Jadi, jika seorang muslim  percaya pada kewujudan Allah, ia tidak akan merasa ragu dan akan mempunyai penuh keyakinan terhadap Allah dalam keadaan apa sekalipun. Dia sentiasa sedar  bahawa Allah sentiasa melihat dan mendengar perbuatannya pada setiap saat, dan ia mematuhi perintah dan ajaran Allah sepanjang hidupnya, dengan menerapkan nilai moral yang indah yang diperintah Allah ke atasnya. Ia begitu yakin tentang adanya hidup selepas mati. Ia sedar bahawa hidup matinya ditangan Allah dan ia boleh mati bila-bila masa sahaja dan akan dibawa ke muka pengadilan di mahkamah Allah. Keimanan ini menguatkan keyakinannya, sebagaimana yang disebutkan oleh Allah di dalam Al-Quran.

Seperti yang kita lihat di dalam ayat tersebut, Allah memuji orang-orang yang mempunyai  keimanan yang tinggi terhadap Allah dan Rasul dan orang-orang yang berjuang di jalanNya bagi menentang fahaman yang tidak mengakui adanya agama dan Tuhan yang benar. Namun, tidak setiap orang yang mengaku memiliki iman  mempunyai ketinggian iman seperti yang disebutkan tadi. Allah juga menyebutkan perihal orang-orang yang memiliki iman yang lemah dan dalam banyak ayat-ayat Al-Quran, memberi amaran kepada mereka yang lemah imannya ini.
Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula ( kepada kekufurannya ). ( Dengan sikap itu )rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata.    (QS. Al-Hajj, 11)
Pastinya orang yang benar-benar percaya, akan menyerahkan seluruh jiwa dan raganya dan ia tidak akan melencong dari nilai moral yang telah ditentukan oleh Allah dalam setiap saat kehidupannya. Dia akan menunjukkan sikap yang paling murni, paling suci dan mempunyai adab sopan yang paling indah, dengan harapan Allah akan meredhainya, walau dalam apa keadaan sekalipun. Dia akan mengucapkan kata-kata yang terbaik, akan  berjuang dengan cara yang paling bijaksana, berani dan dengan penuh kesabaran. Setiap muslim yang mencintai Allah, yang berasa senang mencintai Allah, akan merasa takut akan azab Allah dan orang yang berserah  hanya kepada-Nya akan dapat mencapai keimanan yang tinggi yang telah dicapai oleh semua para nabi. Yang penting adalah untuk menunjukkan komitmen yang konsisten dan berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah, dan tidak pernah lupa bahawa tidak ada kuasa selain Allah, serta menjadikan Allah sebagai teman dan meletakkan sepenuh kepercayaan hanya kepadaNya dalam setiap detik kehidupan. Seseorang mukmin yang memenuhi semua ciri-ciri keimanan ini dengan sepenuh jiwa dan raganya akan menjalani kehidupan dunia ini mirip kehidupan di syurga. Ia menjauhi perangai buruk seperti marah, terburu-buru, panik, ketakutan dan kesedihan yang semuanya merupakan nilai yang jauh  dari nilai-nilai moral yang disaran oleh Al-Quran. Dengan demikian, ia mencapai tahap keimanan yang hampir sama dengan tahap keimanan para nabi dan para ulama, sementara ia amat berharap menjadi salah seorang hamba yang disenangi oleh Allah.

Dalam memahami tahap keimanan sebenar yang diperolehi melalui cinta yang mendalam dan tekad yang kuat, kita dapat menjadikan kehidupan para nabi sebagai contoh kepada kita.  Nabi Isa (AS) misalnya menunjukkan sikap orang yang memiliki iman yang tinggi pada keseluruhan peringkat kehidupannya. Dia sentiasa tunduk kepada perintah Allah dalam menghadapi kesulitan-kesulitan yang timbul, melihat kebaikan dalam segala hal, tidak pernah menyerah kalah di atas segala kemudharatan yang menimpa dan selalu menunjukkan sikap yang matang. Dalam menghadapi kelemahan iman para pengikutnya, beliau menunjukkan kematangannya dengan mengajak mereka ke jalan yang lurus secara lembut dan penuh kasih sayang kerana beliau tahu bahawa Allahlah yang menciptakan mereka sebegitu. Beliau memohon kepada Allah supaya menguatkan iman mereka.
Dan ( ingatlah ) ketika orang-orang Hawariyiin berkata,'' Wahai ‘Isa Ibni Mariam! Daptkah kiranya Tuhanmu berkenan menurunkankepada kami satu hidangan dari langit ? Nabi ‘Isa menjawab, “ Bertaqwalah kamu kepada Allah jika benar kamu orang-orang yang beriman “
Mereka berkata, "Kami hanya ingin hendak makan dari hidangan itu ( untuk mengambil berkat ) dan supaya tenang tenteram hati kami dan juga untuk kami ketahui dengan yakin, bahawa sesungguhnya engkau telah berkata benar kepada  kami, dan supaya menjadilah kami  orang-orang yang menyaksikannya sendiri."
 
'Isa ibni Mariam ( pun berdoalah ke hadrat Allah dengan ) berkata: “ Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang adahari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda ( mukjizat ) daripadaMu ( yang menunjukkankebesaran dan kekuasaanMu; dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi rezeki “   (QS. Al-Ma'ida, 112-114)
Dia menjawab kepada Allah dengan jawapan yang baik ketika ditanya oleh Allah, sambil memuji and memuliakan Allah. Beliau telah menunjukkan kasih yang mendalam kepada Allah dan pengabdian yang tinggi dengan kata-kata yang penuh hormat dan patuh kepada perintah dan larangan Allah. Jika kita melihat ayat-ayat di bawah ini tentang ketulusan kata-kata Nabi Isa (AS), kita akan dapat melihat perasaan hormat dan cinta yang mendalam terhadap Allah. Maka ketulusan dan keimanan ini merupakan penunjuk yang jelas tentang cinta yang mendalam dan rasa takut yang amat sangat terhadap azab Allah. Inilah keimanan yang sebenarnya.
Dan ( ingatlah ) ketika Allah berfirman,'' Wahai ‘Isa Ibni Mariam! Engkaukah yang berkata kepada manusia: "Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah?" Nabi ‘Isa menjawab, “ Maha Suci Engkau ( wahai tuhan )! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak ( mengatakannya ). Jika ada aku mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau telah mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diriMu, kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib.
Aku tidak mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau perintahkan kepadaku mengatakannya, iaitu: " Sembahlah kamu akan Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu dan adalah aku menjadi pengawas terhadap mereka ( dengan membenarkan yang benar dan menyalahkan yang salah ) selama aku berada dalam kalangan mereka; kemudian  apabila Engkau sempurnakan tempohku, menjadilah Engkau sendiri yang mengawasi keadaan mereka dan engkau jualah yang menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu.
 
“ Jika Engkau menyeksa mereka, ( maka tidak ada yang menghalanginya ) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang  Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" (QS Al-Ma'ida, 116-118)
 
Seorang Muslim yang menjadikan nabi sebagai model akan sentiasa mengharapkan pertolongan dari Allah ke atas segala dugaan yang dihadapi, sentiasa menurut perintah Allah, menghindari dari sikap yang tercela dan selalu mendekatkan diri kepada Allah dan AlQuran dengan perilaku yang mulia dan layak untuk menjadi seorang yang beriman.

Apr 08, 2011

Al Faqir : Diambil dari Laman Harun Yahya. Adnan Oktar adalah seorang Da'e ilAllah yang telah dikhabarkan tentang penulisannya dalam bidang sains penciptaan dan dakwah islam oleh Syeikh Nazim Haqqani sewaktu beliau masih didalam penjara Turki. Hari ini, terbukti Harun Yahya sudah menghasilkan ratusan karya Islam dan Karya Agung beliau mengenai asal usul penciptaan makhluk yang dibukukan, 'Atlas Of Creation' mengejutkan golongan intelektual darwinis,freemason,atheis, dan materialis diseluruh dunia. 

Tuesday, April 12, 2011

Islam, Politik dan Pemerintah

                
Selawat dan Salam kepada Junjungan Besar, pelita hati kaum Muslimin, Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wassalam Rasul yang Amin dan kepada keluarga baginda yang suci, sahabat-sahabat baginda Rasul, para tabi’in, tabiut tabi’in dan mereka yang mengikut mereka sehingga hari Kiamat.

Islam bermaksud berserah diri secara total kepada Allah dan Rasul dengan penghayatan tauhid sebenar sepanjang masa.

Keseluruhan aspek kehidupan oleh individu Muslim itu dari mulai bangun tidur hingga kembali tidur, berkeluarga, bekerja, bermuamalat sesama manusia hingga menjalankan perundangan hukum negara perlu berdasarkan sistem tauhid tersebut.

Islam tidak boleh dibawa secara individu dan terpisah dari jamaah umat islam. Islam itu wajib dan perlu diamalkan pada segenap penjuru kehidupan supaya hidup kita sentiasa diredhai Sang Khaliq.
Kefahaman cetek agama yang memisahkan kehidupan  beragama seseorang dari pengurusan dan pentadbiran seperti dalam kariah, daerah, negeri dan negara adalah satu kepincangan dalam kefahaman kehidupan beragama.

Tema Politik itu kotor, dan tema Agama dan Politik tidak boleh bersama seiringan adalah warisan sistem Dajjal Besar melalui bekas penjajahan yang ingin melihat manusia tidak mempercayai bahawa Tuhan telah menurunkan dan menunjuki satu-satunya cara yang terbaik untuk manusia bermuamalah dan berhukum sesama manusia. Jika manusia memilih selain dari perundangan dan hukum Allah maka kemusnahan akan dirasai oleh manusia itu sendiri. Pencipta lebih mengetahui tentang ciptaanNya dan kelemahan yang diletakkanNya pada ciptaanNya. Oleh itu, manusia perlu patuh dan taat pada perintah dan arahan Pencipta-Nya dan menghindari tegahan dan laranganNya walaupun tanpa belum mengetahui hikmah setiap perintahNya. Dan sudah tentu setiap perintah dan larangan Allah Azza Wajall mempunyai hikmah yang besar yang diketahui atau belum ditemui hikmahnya.

Politik itu hanya akan kotor dan berdosa sekiranya si pengamal itu tidak beriman dan takutkan azab Allah. Andai politik itu kotor dan terpisah dari agama sudah tentu Negara Islam yang pertama tidak akan terbina melalui Piagam Madinah oleh Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam dimana bukan sahaja masyarakat Islam sahaja dilindungi hak malah masyarakat Nasrani dan Yahudi diberi hak mereka untuk hidup secara aman dan bebas mengamalkan pegangan agama masing masing melalui perjanjian sumpah setia untuk mempertahankan negara dari sebarang ancaman luar.

Pemerintah Islam yang tidak menjalankan hak pada orang Islam dan bukan islam akan disoal dan dipertanggung jawabkan di Padang Masyar kelak mengenai amanah yang mereka pikul sewaktu mereka berada didunia yang sementara ini.

Sebagai rakyat dan orang islam awam, kita perlulah menegur pemerintah yang dilihat melanggar hukum Allah Azza Wajall dan bersama jamaah yang menjadikan perjuangan Islam sebagai matlamat hidup. Sekiranya, kita sudah menjalankan tugas kita, maka lepaslah kita dari turut sama disoal di hari akhirat nanti dan selamatlah agama kita.
Jika pemerintah masih zalim dalam pentadbirannya maka kita sebagai rakyat tidak perlu menentang dengan cara kekerasan kerana sabit dari hadith Rasulullah SAW:  
، عن النبي صلى الله عليه وسلم ، قال : " من كره من أميره شيئا فليصبر ، فإنه من خرج من السلطان شبرا مات ميتة جاهلية " *

Ertinya : "Barang siapa yang benci terhadap pemimpinnya maka hendaklah bersabar, maka sesungguhnya orang yang keluar dari pemimpinnya walaupun satu jengkal maka dia mati seperti orang jahiliyyah. (HR Bukhari. no 6665)

Juga Hadis Rasulullah s.a.w :
                                                                                                           عن الزبير بن عدي ، قال : أتينا أنس بن مالك ،
t
قشكونا إليه ما نلقى من الحجاج ، فقال : " اصبروا ، فإنه لا يأتي عليكم زمان إلا الذي بعده شر منه ، حتى تلقوا ربكم " سمعته من نبيكم صلى الله عليه وسلم       
ِErtinya : Berkata Zubair :Kami mendatangi Anas bin Malik,maka kami mengadu kepadanya dari kezoliman Hajjaj yang menimpa kami, Maka berkata Anas : Sabarlah kamu semuanya, karena tidak akan datang masa kepada kamu kecuali yang setelahnya itu lebih buruk lagi darinya, sehingga kamu berjumpa tuhanmu , Aku telah mendengar hal ini dari Nabi kamu s.a.w.HR.Bukari no:6675.
Juga Hadis Rasulullah s.a.w :


 
سأل سلمة بن يزيد الجعفي رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال : يا نبي الله أريت  إن قامت علينا أمراء يسألونا حقهم ويمنعون حقنا فما تأمرنا ؟ فأعرض عنه، ثم سأله فأعرض عنه، ثم سأله ثانية أو ثالثة، فجذبه الأشعث بن قيس ، وقال " اسمعوا وأطعوا فإنما عليهم ما حملوا وعليكم ما حملتم 

Ertinya :  Salamah bin Yazid bertanya kepda Rasulullah s.a.w. beliau berkata : Wahai Nabi Allah ! Bagaimana pendapatMu jika yang memimpin kami meminta hak mereka kepada kami ( keta`atan ), dan tidak memberikan kepada kami hak-hak kami, Apa yang kamu suruh untuk kami perbuat?, maka Rasul berpaling darinya, kemudian dia ( Salamah-red ) bertanya pula, Rasulpun berpaling darinya, kemudian dia bertanya pula kali yang kedua atau yang ketiga, maka al-Asy`ats bin Qais menariknya, Bersabda Rasulullah :Dengarkan dan ta`atkan kamulah ( pemimpin-pemimpin kamu-red ) Sesungguhnya atas mereka tanggung jawab yang mereka bawa, dan diatas pundak kamu tanggung jawab yang kamu pikul.
(HR Muslim  no.1846)

cukup tiga hadis ini saja, sebab banyak lagi hadis-hadis yang lain yang melarang untuk keluar dari pemerintah,     bahkan diperintahkan untuk bersabar.

Berkata Imam al-Hafizh Abu Ja`far Ahmad bin Muhammad at-Thohawi  321 hijriyah :

ولا نرى الخروج على أئمتنا وولاة أمورنا إن جاروا

Ertinya : Kami tidak berpendapat untuk keluar dari keta`atan terhadap pemimpin-pemimpin kami dan yang memegang perkara kami walaupun mereka itu jahat.( Aqidah Tohawi )

Dari hadis seperti ini lah para sahabat dan tabi`in bersabar dari kezoliman Hajaj as-Saqafi yang telah banyak membunuh dari para sahabat Rasul dan Tabi`in.
Demikian juga Imam Ahmad bin Hanbal dan para ulama-ulama besar yang di siksa ( didalam permaslahan al-Qur`an itu makhluk atau qadim ), mereka bersabar dengan pendapat mereka, tetapi mereka tidak mengajak umat untuk memberontak kekhalifahan Abbasiyyah dan tidak mengajak umat menjatuhkan khalifah.

Ini adalah sikap ulama-ulama salaf, kita tidak boleh kata mereka bodoh kerena tidak berusaha untuk mengubah keadaan tetapi mereka sudah menasihati, jadi tindakan terakhir bersabar atas kezaliman. 

Sebenarnya masih banyak lagi alasan ulama-ulama yang tidak membenarkan menjatuhkan pemimpin tanpa keputusan undang-undang dan cara yang sah tetapi kami padakan saja dalil mereka.

Nilailah setiap tindakan kita dengan hukum lima yang asas (Wajib, Sunnat, Harus, Makruh, Haram) sepanjang masa InsyaAllah selamat bawaan agama kita.

Mudah mudahan Allah Azza Wajalla menunjuki jalan yang Haq dan Benar kepada kita pada setiap persimpangan keputusan dalam hidup kita untuk kita sentiasa dalam Rahmah dan Maghfirah-Nya. Amin Ya Robbal Alamin.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

Recent Posts

There was an error in this gadget

Shaykh Abd al-Fattah Abu Ghuddah, Shaykh Abdullah al-Ghumari, Shaykh Muhammad Yasin al-Fadani, Shaykh Ismaeel Zayn, Shaykh Hasan al-Saqqaf and Shaykh Ibrahim al-Khalifah al-Ahsai

Cinta/Love/Mahabbah/Pyiar

Beautiful advice for the seeker of truth (Al Habib Ali Zainal Abidin Al Jufri)