PESANAN PENGENDALI BLOG KEPADA SEMUA AHLI ILMU

Imam Ibnu Asakir, Imam al-Khatib dan Imam al-Hafiz al-Mizzi meriwayatkan sebuah hadis yang berbunyi:

"Apabila akhir umat ini melaknat (generasi) awalnya, maka hendaklah orang-orang yang mempunyai ilmu pada ketika itu menzahirkan ilmunya, sesungguhnya orang yang menyembunyikan ilmu pada waktu tersebut seumpama seseorang yang menyembunyikan apa yang telah diwahyukan kepada (Sayyidina) Muhammad Salallahu Alaihi Wassalam!!!"

Maka apabila lahir golongan yang mencaci dan melaknat para ulama' empat mazhab terdahulu yang mengikut generasi Salafus Soleh, apakah yang telah kita lakukan???

"Mengenal Allah dengan ilmu seperti mendengar gula tapi belum merasai,
Mengenal Allah dengan hati seperti merasai gula"
- Sultanul Auliya Syeikh Abdul Qadir al-Jailani.

Your heart will go back to you.

Your heart will go back to you.
click the picture for more

Tuesday, February 8, 2011

Temubual dengan Tuan Guru Hj. Mohd Baqi Osman 


Pada 9 hb. September 2006 yang lalu saya bersama saudara Aris Fezul (Tukul Besi) telah mengadakan suatu sesi temubual dengan Tuan Guru Hj. Mohd Baqi Osman dipejabatnya di Madrasah Saadah al-Daraini, Kampung Lanting, Chenor, Pahang. Temubual sekitar ilmu tasawuf ini telah dijawab dengan begitu menarik oleh beliau. Sebagai salah seorang ulama negeri Pahang yang dihormati, kami berasa cukup berbesar hati kerana beliau telah melayan semua soalan-soalan kami dengan baik sekali. Di sini saya perturunkan sebahagian daripada temubual tersebut untuk tatapan peminat-peminat tasawuf:

Wartawan: Boleh Tuan Guru terangkan tentang tarekat dan hubungannya dengan tasawuf?

Tuan Guru: Dalam amalan tasawuf memanglah ada tarekat tetapi bukan semua tarekat boleh digunapakai, bergantunglah kepada maklumat tarekat itu sendiri. Kalau tarekat tersebut tiada sandaran daripada Nabi maka ia ditolak.

Keduanya, amalan tarekat ini tiada ditekankan kepada semua umat Islam. Sebaliknya ia lebih kepada yang lebih berminat sahaja. Jadi yang berminat bolehlah beramal dan kepada yang tidak berminat dan tak mampu maka tiada apa-apa masalah.

Sebenarnya tarekat itu merupakan wirid-wirid, doa, selawat dan munajat. Rasulullah perturunkan tarekat kepada para sahabat tetapi ia tidak semestinya disebarkan. Ia boleh diamalkan kepada yang mahu dan berkelayakan. Sebab itu guru tarekat dia tahu siapa yang boleh beramal dan siapa yang tidak boleh. Ini kerana ujian dan tarbiah dia jauh berbeza daripada biasa. Jadi bukan semua orang tahan dan mampu kerana ia melibatkan masa, pergaulan, makan minum dan tidur baring kita semua. Sebab itu zaman mutakhir ini tarekat berkurangan dan sedikit sahaja yang diterima oleh umat Islam. Tambahan pula guru yang boleh melatih murid sudah tidak ramai lagi yang tinggal. Ditambah lagi dengan tekanan daripada pihak pemerintah seperti pemerintah Saudi yang tidak memberi laluan langsung kepada tarekat ini.

Terdapat salah faham berlaku yang mengatakan tarekat menyekat kemajuan umat Islam. Sedangkan sebenarnya tarekatlah asas kepada kemajuan dunia. Dunia akan rosak apabila orang tidak berpegang dengan ilmu tasawuf, sebab ilmu tasawuf adalah ilmu yang mengawal diri seperti amanah, qanaah, sabar dan sebagainya. Jadi dia tidak terlibat langsung dengan perkara haram seperti rasuah, riba bahkan yang syubhah pun ditinggalkan. Maka berkembanglah tamadun dunia Islam. Namun apabila sifat-sifat ini tiada pada manusia maka rosaklah dunia ini. Itulah rahsia ilmu tasawuf. Sebab itu kalau kata ilmu tasawuf menyekat kemajuan dunia maka itu silap besar. Sebab itulah kalau ilmu tasawuf ini duduk pada pemerintah, menteri dan raja maka rahmatlah dunia. Masalahnya sekarang ini, ilmu tasawuf ini duduk pada rakyat tiada pada pemerintah.

Wartawan: Apa pendapat Tuan Guru dengan amalan tawasul?

Tuan Guru: Dikalangan ulama sufi, tawasul tiada masalah tapi pada kalangan yang lain ada yang menolak. Sebenarnya tawasul ini hanya “melalui” dan bukan minta dengan dia. Macam kita nak jumpa rajalah, kalau nak terus jumpa raja begitu sukarlah. Sebaliknya kita kenalah melalui orang yang rapat dengan raja. Bukan raja tidak boleh terus semuka dengan rakyat….boleh! tapi apa guna jawatan pembantu raja kalau rakyat boleh ikut suka saja jumpa raja? Demikian juga Allah yang memiliki kerajaan yang besar ini. Bukan Allah tidak boleh terus dengan kita tapi apa guna kebesaran Nabi Muhammad ? Kebesaran sahabat dan kebesaran ulama? Terbiar…

Jadi Allah beri penghormatan kepada orang tertentu umpamanya Nabi Muhammad sebagai khatamun nabiyin dan rahmatan lil alamin. Jadi rahmat apanya kalau umat dia terus sahaja dengan Allah tidak “melalui” dia? Cuma orang salah tafsir kata kita minta pada dia….itu salah tafsir.

Wartawan: Boleh Tuan Guru terangkan contoh tawasul zaman nabi?

Tuan Guru: Itu para sahabat minta Rasulullah doakan untuk mereka. Tawasul lah tu….Demikian juga jika kita hendak berdoa, disuruh kita mulai dengan selawat dan akhiri doa pun dengan selawat. Itu pun memberi makna tawasul. Jadi Tuhan tak layan doa yang tidak dimulai dengan selawat dan akhiri dengan selawat.

Wartawan: Bagaimana pula bertawasul dengan para wali?

Tuan Guru: Macam tadilah….nak jumpa raja kenalah melalui orang bawah dia….kerana mereka diberi mandat untuk tugas tertentu, jadi orang macam Syeikh Abdul Qadir al-Jailani dan sebagainya mereka telah diberi mandat untuk melayan dan membantu.

Wartawan: Benarkah ayat al-Quran ada khadam?

Tuan Guru: Memang al-Quran ada pengawal dan penjaga. Sebab itu al-Quran tidak boleh diselewengkan seperti kitab injil dan taurat. Injil dan taurat tiada peruntukan tersebut. Setiap huruf al-Quran ada malaikat mengawalnya. Macam “bismillah” ada malaikat jaga huruf “ba”, “sin” dan” mim”.

Wartawan: Jadi khadam ayat itu malaikatlah?

Tuan Guru: Ya…..malaikat semua bukan jin.

Wartawan: Macamana pula dengan rijal al-Ghaib?

Tuan Guru: Manusia… rijal al-Ghaib, Abdal, Nuqaba ….itu semua manusia yang Allah bagi jawatan (maqam) pada peringkat tertentu. Kerajaan manusia ada kabinet, kementerian, jabatan, unit dan macam-macam. Maka kerajaan Allah lagilah hebat . Allah menguasai semua pemerintahannya. Tapi kalau Allah tak guna itu semua pun boleh…Allah maha kuasa. Allah itu malikul mulk, Dia ada kerajaan. Jadi kalau ada kerajaan takkan tiada pentadbiran?

Wartawan : Hukum istighosah dengan rijal al-Ghaib?

Tuan Guru: Mereka sekadar boleh beri sokongan (recommend) sahaja, Allah yang memberi dan menentukan. Jadi istighosah itu sebenarnya minta sokongan (supaya doa dimakbulkan Allah) saja.



Wartawan: Boleh Tuan Guru terangkan tentang Nabi Khidir? Adakah dia masih hidup?

Tuan Guru: Ada khilaf ulama...ada yang mengatakan dia masih hidup dan ada yang mengatakan dia telah mati. Tiada pendapat yang muktamad tentang perkara ini. Jadi harus saja Khidir itu masih hidup kerana itu tiada masalah pada sisi Allah...boleh saja Allah buat.

Ada pendapat mengatakan bahawa Khidir itu menteri kepada Iskandar Zulkarnain. Kononnya pada zaman tersebut ada satu tempat yang tidak dilalui oleh matahari dan di situ ada satu sungai yang sesiapa meminum airnya maka dia tidak akan mati sehinggalah hari kiamat. Oleh itu Zulkarnain telah berusaha untuk mencari tempat itu tetapi tidak berjaya. Akan tetapi Khidir telah menemui sungai tersebut dan meminum airnya tanpa mengetahui perihal air tersebut. Setelah mengetahui Khidir telah meminum air tersebut maka Zulkarnain pun mengiktiraf bahawa Khidirlah yang layak untuk umur panjang sampai kiamat. Oleh itu diceritakan bahawa Khidir telah mengembara dan tiada suatu tempat dalam dunia ini yang dia tak pernah sampai. Walaubagaimanapun ini hanyalah hikayat....(boleh diterima dan boleh ditolak, tak boleh buat hujah)

Wartawan: Ada pendapat mengatakan bahawa Syeikh Abdul Qadir al-Jailani adalah ketua kepada para wali (Sultan Auliyak)...apa komen Tuan Guru?

Tuan Guru: Kedudukan itu bertukar ganti. Waktu dia hidup maka dialah ketua tetapi bila mati maka Tuhan ganti dengan yang lain. Wallahuaklam.

Dalam kitab Hikam ada menyebutkan bahawa untuk mengenal Allah lebih mudah daripada nak kenal ahlillah. Sebab ahlillah ini dia macam orang biasa maka susah nak kenal. Sebab itu antara hikmat solat jumaat kena ada 40 orang kerana mungkin dalam 40 orang itu ada seorang yang makbul doanya tetapi kita tak tahu. Jadi dengan sebab amin dia itu maka Tuhan makbulkan doa semua.

Wartawan: Akhir sekali boleh ceritakan sedikit latar belakang Tuan Guru?

Tuan Guru: Saya dulu belajar di kampung sampai darjah lima saja...masa itu zaman komunis. Lepas itu saya masuk pondok di kampung sambil menoreh getah. Pada tahun 1958saya pergi Kelantan masuk pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas. Takda duit... sambil belajar terpaksa menoreh getah di Thailand, buat sawah di Kedah. Sepuluh tahun di pondok Kelantan lepas itu saya pergi ke Mekah. Pergi Mekah dengan kapal laut dari Port Kelang ke Madras, India. Kemudian naik keretapi dari Madras ke New Delhi dan masuk Pakistan sampai ke Karachi. Setelah sebulan setengah di Karachi naik kapal laut sekali lagi menuju Bahrain dan terus ke Jedah. Enam tahun saya belajar di Mekah dan setelah pulang ke Malaysia saya tak pernah bekerja dengan kerajaan sampai sekarang.

Wartawan: Umur Tuan Guru dan bilangan anak?

Tuan Guru: Sekarang 66 tahun (Tahun 2006) dan anak ada sebelas orang.

Wartawan: Terima kasih banyak Tuan Guru.

(Selepas selesai sesi temuduga, kami dipersilakan ke rumahnya untuk menikmati juadah nasi yang telah disediakan. Sejauh pengamatan saya sepanjang sesi temuduga dijalankan beliau adalah seorang ulama yang tawaduk dan rendah diri. Beliau nampak mesra dan melayan kami dengan begitu baik sekali. Semoga Allah memanjangkan umur beliau dan dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus berbakti kepada ummah)

Dipetik dari Al-Qumairi oleh Panglima Nusantara.

5 comments:

  1. Maaf bertanya, bagaimana saya ingin berhubung dengan TG Haji Mohd Baqi Osman atau PA beliau untuk membuat research?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Shaykh Abd al-Fattah Abu Ghuddah, Shaykh Abdullah al-Ghumari, Shaykh Muhammad Yasin al-Fadani, Shaykh Ismaeel Zayn, Shaykh Hasan al-Saqqaf and Shaykh Ibrahim al-Khalifah al-Ahsai

Cinta/Love/Mahabbah/Pyiar

Beautiful advice for the seeker of truth (Al Habib Ali Zainal Abidin Al Jufri)