Mashiatullah sedang berlaku di bumi anbiya. Mari kita berdoa supaya Allah Azza Wajalla memberi kaum muslimin seluruh dunia penguasa yang soleh yang bakal mengurus alam ini menuju redha-Nya. Amin, amin ya Robbal Alamin waya mujii bassa'ilin.
PESANAN PENGENDALI BLOG KEPADA SEMUA AHLI ILMU
Imam Ibnu Asakir, Imam al-Khatib dan Imam al-Hafiz al-Mizzi meriwayatkan sebuah hadis yang berbunyi:
"Apabila akhir umat ini melaknat (generasi) awalnya, maka hendaklah orang-orang yang mempunyai ilmu pada ketika itu menzahirkan ilmunya, sesungguhnya orang yang menyembunyikan ilmu pada waktu tersebut seumpama seseorang yang menyembunyikan apa yang telah diwahyukan kepada (Sayyidina) Muhammad Salallahu Alaihi Wassalam!!!"
Maka apabila lahir golongan yang mencaci dan melaknat para ulama' empat mazhab terdahulu yang mengikut generasi Salafus Soleh, apakah yang telah kita lakukan???
"Mengenal Allah dengan ilmu seperti mendengar gula tapi belum merasai,
Mengenal Allah dengan hati seperti merasai gula"
- Sultanul Auliya Syeikh Abdul Qadir al-Jailani.
Wednesday, February 9, 2011
Tuesday, February 8, 2011
Temubual dengan Tuan Guru Hj. Mohd Baqi Osman

Pada 9 hb. September 2006 yang lalu saya bersama saudara Aris Fezul (Tukul Besi) telah mengadakan suatu sesi temubual dengan Tuan Guru Hj. Mohd Baqi Osman dipejabatnya di Madrasah Saadah al-Daraini, Kampung Lanting, Chenor, Pahang. Temubual sekitar ilmu tasawuf ini telah dijawab dengan begitu menarik oleh beliau. Sebagai salah seorang ulama negeri Pahang yang dihormati, kami berasa cukup berbesar hati kerana beliau telah melayan semua soalan-soalan kami dengan baik sekali. Di sini saya perturunkan sebahagian daripada temubual tersebut untuk tatapan peminat-peminat tasawuf:
Wartawan: Boleh Tuan Guru terangkan tentang tarekat dan hubungannya dengan tasawuf?
Tuan Guru: Dalam amalan tasawuf memanglah ada tarekat tetapi bukan semua tarekat boleh digunapakai, bergantunglah kepada maklumat tarekat itu sendiri. Kalau tarekat tersebut tiada sandaran daripada Nabi maka ia ditolak.
Keduanya, amalan tarekat ini tiada ditekankan kepada semua umat Islam. Sebaliknya ia lebih kepada yang lebih berminat sahaja. Jadi yang berminat bolehlah beramal dan kepada yang tidak berminat dan tak mampu maka tiada apa-apa masalah.
Sebenarnya tarekat itu merupakan wirid-wirid, doa, selawat dan munajat. Rasulullah perturunkan tarekat kepada para sahabat tetapi ia tidak semestinya disebarkan. Ia boleh diamalkan kepada yang mahu dan berkelayakan. Sebab itu guru tarekat dia tahu siapa yang boleh beramal dan siapa yang tidak boleh. Ini kerana ujian dan tarbiah dia jauh berbeza daripada biasa. Jadi bukan semua orang tahan dan mampu kerana ia melibatkan masa, pergaulan, makan minum dan tidur baring kita semua. Sebab itu zaman mutakhir ini tarekat berkurangan dan sedikit sahaja yang diterima oleh umat Islam. Tambahan pula guru yang boleh melatih murid sudah tidak ramai lagi yang tinggal. Ditambah lagi dengan tekanan daripada pihak pemerintah seperti pemerintah Saudi yang tidak memberi laluan langsung kepada tarekat ini.
Terdapat salah faham berlaku yang mengatakan tarekat menyekat kemajuan umat Islam. Sedangkan sebenarnya tarekatlah asas kepada kemajuan dunia. Dunia akan rosak apabila orang tidak berpegang dengan ilmu tasawuf, sebab ilmu tasawuf adalah ilmu yang mengawal diri seperti amanah, qanaah, sabar dan sebagainya. Jadi dia tidak terlibat langsung dengan perkara haram seperti rasuah, riba bahkan yang syubhah pun ditinggalkan. Maka berkembanglah tamadun dunia Islam. Namun apabila sifat-sifat ini tiada pada manusia maka rosaklah dunia ini. Itulah rahsia ilmu tasawuf. Sebab itu kalau kata ilmu tasawuf menyekat kemajuan dunia maka itu silap besar. Sebab itulah kalau ilmu tasawuf ini duduk pada pemerintah, menteri dan raja maka rahmatlah dunia. Masalahnya sekarang ini, ilmu tasawuf ini duduk pada rakyat tiada pada pemerintah.
Wartawan: Apa pendapat Tuan Guru dengan amalan tawasul?
Tuan Guru: Dikalangan ulama sufi, tawasul tiada masalah tapi pada kalangan yang lain ada yang menolak. Sebenarnya tawasul ini hanya “melalui” dan bukan minta dengan dia. Macam kita nak jumpa rajalah, kalau nak terus jumpa raja begitu sukarlah. Sebaliknya kita kenalah melalui orang yang rapat dengan raja. Bukan raja tidak boleh terus semuka dengan rakyat….boleh! tapi apa guna jawatan pembantu raja kalau rakyat boleh ikut suka saja jumpa raja? Demikian juga Allah yang memiliki kerajaan yang besar ini. Bukan Allah tidak boleh terus dengan kita tapi apa guna kebesaran Nabi Muhammad ? Kebesaran sahabat dan kebesaran ulama? Terbiar…
Jadi Allah beri penghormatan kepada orang tertentu umpamanya Nabi Muhammad sebagai khatamun nabiyin dan rahmatan lil alamin. Jadi rahmat apanya kalau umat dia terus sahaja dengan Allah tidak “melalui” dia? Cuma orang salah tafsir kata kita minta pada dia….itu salah tafsir.
Wartawan: Boleh Tuan Guru terangkan contoh tawasul zaman nabi?
Tuan Guru: Itu para sahabat minta Rasulullah doakan untuk mereka. Tawasul lah tu….Demikian juga jika kita hendak berdoa, disuruh kita mulai dengan selawat dan akhiri doa pun dengan selawat. Itu pun memberi makna tawasul. Jadi Tuhan tak layan doa yang tidak dimulai dengan selawat dan akhiri dengan selawat.
Wartawan: Bagaimana pula bertawasul dengan para wali?
Tuan Guru: Macam tadilah….nak jumpa raja kenalah melalui orang bawah dia….kerana mereka diberi mandat untuk tugas tertentu, jadi orang macam Syeikh Abdul Qadir al-Jailani dan sebagainya mereka telah diberi mandat untuk melayan dan membantu.
Wartawan: Benarkah ayat al-Quran ada khadam?
Tuan Guru: Memang al-Quran ada pengawal dan penjaga. Sebab itu al-Quran tidak boleh diselewengkan seperti kitab injil dan taurat. Injil dan taurat tiada peruntukan tersebut. Setiap huruf al-Quran ada malaikat mengawalnya. Macam “bismillah” ada malaikat jaga huruf “ba”, “sin” dan” mim”.
Wartawan: Jadi khadam ayat itu malaikatlah?
Tuan Guru: Ya…..malaikat semua bukan jin.
Wartawan: Macamana pula dengan rijal al-Ghaib?
Tuan Guru: Manusia… rijal al-Ghaib, Abdal, Nuqaba ….itu semua manusia yang Allah bagi jawatan (maqam) pada peringkat tertentu. Kerajaan manusia ada kabinet, kementerian, jabatan, unit dan macam-macam. Maka kerajaan Allah lagilah hebat . Allah menguasai semua pemerintahannya. Tapi kalau Allah tak guna itu semua pun boleh…Allah maha kuasa. Allah itu malikul mulk, Dia ada kerajaan. Jadi kalau ada kerajaan takkan tiada pentadbiran?
Wartawan : Hukum istighosah dengan rijal al-Ghaib?
Tuan Guru: Mereka sekadar boleh beri sokongan (recommend) sahaja, Allah yang memberi dan menentukan. Jadi istighosah itu sebenarnya minta sokongan (supaya doa dimakbulkan Allah) saja.

Wartawan: Boleh Tuan Guru terangkan tentang Nabi Khidir? Adakah dia masih hidup?
Tuan Guru: Ada khilaf ulama...ada yang mengatakan dia masih hidup dan ada yang mengatakan dia telah mati. Tiada pendapat yang muktamad tentang perkara ini. Jadi harus saja Khidir itu masih hidup kerana itu tiada masalah pada sisi Allah...boleh saja Allah buat.
Ada pendapat mengatakan bahawa Khidir itu menteri kepada Iskandar Zulkarnain. Kononnya pada zaman tersebut ada satu tempat yang tidak dilalui oleh matahari dan di situ ada satu sungai yang sesiapa meminum airnya maka dia tidak akan mati sehinggalah hari kiamat. Oleh itu Zulkarnain telah berusaha untuk mencari tempat itu tetapi tidak berjaya. Akan tetapi Khidir telah menemui sungai tersebut dan meminum airnya tanpa mengetahui perihal air tersebut. Setelah mengetahui Khidir telah meminum air tersebut maka Zulkarnain pun mengiktiraf bahawa Khidirlah yang layak untuk umur panjang sampai kiamat. Oleh itu diceritakan bahawa Khidir telah mengembara dan tiada suatu tempat dalam dunia ini yang dia tak pernah sampai. Walaubagaimanapun ini hanyalah hikayat....(boleh diterima dan boleh ditolak, tak boleh buat hujah)
Wartawan: Ada pendapat mengatakan bahawa Syeikh Abdul Qadir al-Jailani adalah ketua kepada para wali (Sultan Auliyak)...apa komen Tuan Guru?
Tuan Guru: Kedudukan itu bertukar ganti. Waktu dia hidup maka dialah ketua tetapi bila mati maka Tuhan ganti dengan yang lain. Wallahuaklam.
Dalam kitab Hikam ada menyebutkan bahawa untuk mengenal Allah lebih mudah daripada nak kenal ahlillah. Sebab ahlillah ini dia macam orang biasa maka susah nak kenal. Sebab itu antara hikmat solat jumaat kena ada 40 orang kerana mungkin dalam 40 orang itu ada seorang yang makbul doanya tetapi kita tak tahu. Jadi dengan sebab amin dia itu maka Tuhan makbulkan doa semua.
Wartawan: Akhir sekali boleh ceritakan sedikit latar belakang Tuan Guru?
Tuan Guru: Saya dulu belajar di kampung sampai darjah lima saja...masa itu zaman komunis. Lepas itu saya masuk pondok di kampung sambil menoreh getah. Pada tahun 1958saya pergi Kelantan masuk pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas. Takda duit... sambil belajar terpaksa menoreh getah di Thailand, buat sawah di Kedah. Sepuluh tahun di pondok Kelantan lepas itu saya pergi ke Mekah. Pergi Mekah dengan kapal laut dari Port Kelang ke Madras, India. Kemudian naik keretapi dari Madras ke New Delhi dan masuk Pakistan sampai ke Karachi. Setelah sebulan setengah di Karachi naik kapal laut sekali lagi menuju Bahrain dan terus ke Jedah. Enam tahun saya belajar di Mekah dan setelah pulang ke Malaysia saya tak pernah bekerja dengan kerajaan sampai sekarang.
Wartawan: Umur Tuan Guru dan bilangan anak?
Tuan Guru: Sekarang 66 tahun (Tahun 2006) dan anak ada sebelas orang.
Wartawan: Terima kasih banyak Tuan Guru.
(Selepas selesai sesi temuduga, kami dipersilakan ke rumahnya untuk menikmati juadah nasi yang telah disediakan. Sejauh pengamatan saya sepanjang sesi temuduga dijalankan beliau adalah seorang ulama yang tawaduk dan rendah diri. Beliau nampak mesra dan melayan kami dengan begitu baik sekali. Semoga Allah memanjangkan umur beliau dan dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus berbakti kepada ummah)
Dipetik dari Al-Qumairi oleh Panglima Nusantara.
Wednesday, February 2, 2011
Kebangkitan Rakyat Mesir - Saat sekutu Israel dijatuhkan Allah
![]() |
| Amarah Rakyat tidak dapat dibendung lagi. |
- Mesir dikenali bukan kerana piramidnya. Ini kerana binaan yang menakjubkan bukan sahaja wujud di Mesir, tetapi juga di Indonesia dengan Candi Borobudur, di China dengan Tembok Besar, Patung Zues di Olimpia, Greek dan banyak lagi binaan-binaan lain di seluruh dunia. Bukanlah kemuliaan dan kehebatan Mesir di kehebatan binaan piramidnya yang lebih merupakan lambing kezaliman penguasa terdahulu terhadap rakyatnya di zaman tersebut.
- Sesungguhnya kehebatan Mesir ialah kerana Universiti al-Azhar yang diasaskan pada tahun 970M. Itulah hebatnya Mesir. Bumi anbiya’ yang dipilih Allah SWT untuk menjadi tuan rumah kepada universiti tertua di dunia ini telah melahirkan generasi ulama terbilang yang bertebaran menyebarkan ilmu ke serata dunia. Atas kemuliaan ini, pemimpin Mesir sewajarnya terdiri daripada mereka yang mempunyai komitmen dengan Islam.
- Sayangnya, Mesir hari ini ditadbir oleh rejim diktator yang sedikitpun tidak mencerminkan kemuliaan Universiti al-Azhar. Lihatlah bagaimana Syed Qutb telah dibunuh dengan kejam hanya kerana menulis kitab Maalim fit Tariq dan tafsir Fil Zilal al-Quran. Sekalipun dibunuh atas tuduhan memberontak, beliau tetap dipuji oleh ulama-ulama terkemudian seperti Syeikh Mutawalli Sya’rawi dan Dr. Zaghloul Najjar. Kedua-dua ulama ini setiap kali menyebut nama Syed Qutb pasti akan diikuti denganrahimahullah rahmatan wasiatan (semoga Allah merahmatinya dengan rahmat yang luas).
- Kezaliman rejim Hosni Mubarak di Mesir terbukti dengan kemenangan besarnya yang dicemari dengan penyelewengan besar-besaran setiap kali diadakan pilihanraya. Kemenangannya yang mencapai 99% merupakan hasil demokrasi tempang dan cacat. Di dalam masa yang sama, rejim inilah yang menangkap ribuan pimpinan Ikhwanul Muslimin bagi menghalang mereka bertanding di dalam pilihanraya. Jika benar Hosni Mubarak menang besar di dalam pilihanraya dengan sokongan rakyat, dari mana datangnya penunjuk perasaan yang berjumlah ratusan ribu pada hari ini?
- Rejim inilah juga yang menghulurkan tangan persahabatan dengan Israel pada saat Israel dikutuk di seluruh dunia kerana menzalimi rakyat Palestin. Mereka menidakkan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa al-Azhar pada 18 Jamadil Awwal 1375H bersamaan 2 Januari 1956M yang mengharamkan sebarang bentuk kerjasama dengan negara haram Israel. Di antara mereka yang bersidang pada hari itu ialah Syaikh Isa Manun, Dekan Fakulti Syariah dari Mazhab Syafi'i, Syaikh Mahmoud Shaltout, dari Mazhab Hanafi, Sheikh Mohamed Thaneikhi, Pengarah Badan Dakwah dan Bimbingan Keagamaan, dari mazhab Maliki, Syaikh Muhammad Abdul Lathif As-Subki, Pengarah Penyelidikan Universiti Al-Azhar dari mazhab Hanbali dan Syaikh Zakaria Al-Birri, Bahagian Jawatankuasa Fatwa.
- Sesungguhnya tangan Hosni Mubarak ialah tangan berlumuran dengan darah rakyat Palestin. Kekuasaannya tegak di atas susunan tulang tulang para ulama yang dikorbankan demi untuk memenuhi tuntutan hawa nafsunya. Hari ini, tindakan paling tidak demokratik telah dilaksanakan dengan menutup semua akses internet dan talian telefon semata-mata untuk membendung kebangkitan rakyat.
- Dalam hal ini, saya menyetujui pandangan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi supaya Hosni Mubarak meletakkan jawatan dan akur dengan kehendak rakyat Mesir demi kebaikan rakyat Mesir dan umat Islam keseluruhannya. Semoga Allah SWT akan menaikkan penguasa yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat dan Islam khususnya membela nasih umat Islam di tanah yang bersempadan dengan Mesir iaitu Palestin. Padanlah kalau pihak yang kecut perut sekarang ini dengan perkembangan yang berlaku ialah Israel.
Sekian, wasalam.
Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan merangkap al-Mursyidul Am PAS.
Bertarikh : 27 Safar 1432H bersamaan 1 Februari 2011M
Sumber terkini dipetik dari: ibnufathani.blogspot.com
Zionis dan Empayar Daulah Uthmaniyyah
Zionis dan Kerajaan Uthmaniyyah

Pada hari sabtu 29/1/2011 yang lepas, telah diadakan satu seminar berkenaan Khalifah Uthmaniyyah di Akademi Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Seminar yang diberi tema "Baldatun Tayyibah: Model Uthmaniyyah" telah berjaya menarik minat lebih seratus orang peserta daripada agensi kerajaan, swasta dan orang perseorangan. Seminar tersebut dianjurkan oleh Persatuan Ulama Malaysia cawangan Selangor dengan kerjasama Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Sebanyak tujuh kertas kerja telah dibentangkan dalam seminar tersebut yang mencakupi pelbagai aspek tentang kerajaan Uthmaniyyah. Pembentangan dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Arab itu telah berjaya mendedahkan kepada peserta berkenaan kerajaan Uthmaniyyah secara yang lebih terperinci dan mendalam. Antara kertas kerja yang paling saya gemari ialah kertas kerja yang berjudul "Zionisme dan peranannya di dalam menjatuhkan kerajaan Turki Uthmaniyyah di awal abad ke 20" yang telah dibentangkan oleh Ust. Mohammad Fauzi Zakaria daripada Universiti Malaya. Di sini saya kongsikan bersama pembaca sekalian sebahagian daripada kertas kerja tersebut untuk manfaat kita bersama:
ZIONISME DAN KERAJAAN UTHMANIYYAH
1. Pengalaman Hubungan Yahudi dan Kerajaan Uthmaniyyah
Sejarah hubungan di antara Yahudi dengan Uthmaniyyah telah bermula seawal abad ke-15 M lagi. Hubungan ini bermula secara baik apabila Sultan Sulaiman al-Qanuni memperisterikan gadis jariah Yahudi yang dihadiahkan kepadanya oleh pemerintah Khawarizmi. Pada zaman ini yang lebih terkenal dengan abad pertengahan, kaum Yahudi menghadapi penindasan yang dahsyat di Eropah. Namun dengan daya usaha dan jasa baik isteri Sultan ini, sebahagian dari kaum Yahudi terselamat dan mendapat jaminan keselamatan apabila mereka berhijrah memasuki wilayah-wilayah Turki Uthmaniyyah. Sebahagian besar dari mereka ini berhijrah menduduki Bosnia dan Anatolia.
Semenjak abad-abad pertengahan kaum Yahudi menikmati segala keistimewaan dan kemudahan sebagai rakyat kepada kerajaan Turki Uthmaniyyah. Malahan sebahagian daripada mereka mendapat keistimewaan dilantik sebagai para pegawai kedutaan Uthmaniyyah ke beberapa buah Negara Kristian di Eropah.
2. Zionis Yahudi dan pertembungannya dengan Sultan Abdul Hamid II pemerintah terakhir Kerajaan Uthmaniyyah.
Sejak abad-abad terawal sehingga ke abad-abad pertengahan, kaum Yahudi pada umumnya terbahagi kepada dua kelompok utama. Bagi mereka yang menetap di Sepanyol sewaktu pemerintahan Islam dan di wilayah Turki Uthmaniyyah di zaman-zaman terkemudiannya dikenali sebagai Yahudi Sephardim. Sementara Yahudi yang hidup di tengah-tengah Negara Eropah seperti Itali, German dan Peranchis, begitu juga di bahagian timurnya seperti Poland dan Russia dikenali sebagai Yahudi Ashkenazim. Berbeza dengan Yahudi Sephardim yang lebih baik, nasib Yahudi Ashkenazim selalu tertekan dan tertindas. Mereka hidup bersama komuniti mereka dalam penempatan-penempatan terkurung yang dipanggil "Ghetto" diseluruh Eropah. Sistem kehidupan "Ghetto yang berpanjangan di Eropah ini telah menjadi pemangkin utama kepada kebangkitan semangat Zionisme di kalangan Yahudi Ashkenazim di Eropah.
Pada akhir abad ke 19 M, pergerakan Zionisme telah dibangkitkan dengan penuh semangat untuk menubuhkan sebuah "Dawlah Yahudiyyah" (Judanstaat) di Palestin. Puak Zionis Yahudi ini tambah bersemangat apabila dikhabarkan Palestin yang berada di dalam penguasaan Turki Uthmaniyyah pada ketika itu amat lemah sehingga terkenal dengan jolokan "orang sakit Eropah". Bagaimanapun keghairahan kaum Zionis ini agak terbantut buat sementara kerana bersamaan dengan zaman kemunculan pergerakan Zionisme Yahudi ini, empayar Turki 'Uthmaniyyah menyaksikan kemunculan pemimpin baru, Sultan 'Abd al-Hamid II (1876-1909). Sultan baru ini digambarkan oleh para penganalisa sejarah Islam sebagai seorang yang kuat keazaman Islamnya tetapi dilahirkan di penghujung usia empayar warisannya yang telah nazak. Sultan 'Abd al-Hamid II mewarisi empayar yang sedang runtuh. Wilayah-wilayah di Mesir dan di rantau Balkan, Eropah telah membebaskan diri dari Empayar Uthmaniyyah. Wilayah-wilayahnya di Afrika telah dikuasai oleh kuasa-kuasa penjajah Kristian Eropah. Malah dikhabarkan hutang negara pada waktu itu berjumlah sebanyak 150 juta pound British! Dalam suasana yang agak darurat inilah pemimpin pergerakan Zionis mengambil kesempatan untuk menyogok Sultan untuk melunaskan hutang negara dan menyogok wang peribadi, sebanyak 5 juta pound sebagai tukaran melepaskan wilayah Palestin untuk dijadikan Negara Kebangsaan Yahudi. Namun Sultan yang kuat keazaman Islam ini menolaknya.
Sementara kuasa-kuasa Eropah yang berjiran pada masa itu menganggap empayar 'Uthmaniyyah keseluruhannya sebagai "orang sakit Eropah". Beberapa kelemahan di dalam aspek perundangan kerajaan 'Uthmaniyyah telah dipergunakan oleh negara-negara tersebut untuk menekan dan melemahkan empayar Islam tersebut. Kuasa-kuasa Eropah ini telah menggunakan kelemahan-kelemahan yang ada dengan membantu melakukan penghijrahan dan mewujudkan penempatan-enempatan Yahudi di Palestin.
Sebelum Pergerakan Zionisme Yahudi ditubuhkan secara rasmi ada tahun 1898, pimpinannya telah mempunyai hubungan baik dan erat dengan pemimpin-pemimpin Kristian Protestant yang lebih toleran terhadap kaum Yahudi di Eropah seperti German dan British. Tujuan pimpinan Yahudi itu mewujudkan hubungan baik dengan para pimpinan negara-negara berkenaan adalah untuk mendapatkan pengiktirafan dan bantuan dari mereka bagi menjayakan cita-cita Yahudi untuk kembali bermastautin di Palestin. Pada masa itu Palestin berada di bawah kekuasaan Turki 'Uthmaniyyah.
Dalam hal ini British dilihat lebih ketara berperanan sebagai Zionis kristian kerana daya usaha mereka yang lebih terkehadapan di dalam melaksanakan program penghijrahan Yahudi ke Palestin. Pelaksanaan program ini telah mendahului pergerakan Zionis Yahudi sendiri yang ditubuhkan secara rasmi, pada tahun 1898. Daya usaha kerajaan British ini telah dibuat semenjak mereka membuka Konsulatnya di Jerusalem pada tahun 1838. Usaha ini dilakukannya setelah berusaha mendapatkan kebenaran daripada kerajaan Turki 'Uthmaniyyah di Istanbul melalui saluran-saluran diplomatik supaya diberikan kebenaran untuk menubuhkan penempatan-penempatan bagi pendatang-pendatang Yahudi Eropah di Palestin. Begitu juga program penghijrahan itu dilihat begitu meningkat selepas British menduduki Cyprus (1878) dan Mesir (1881).
Sultan 'Abd al-Hamid sejak awal telah memahami bahayanya program kerjasama Zionis-British dalam melaksanakan penghijrahan Yahudi Eropah ke Palestin. Menyedari perkembangan yang berlaku, 'Abd al-Hamid II pada tahun 1881 telah mengeluarkan "decree" mengharamkan Yahudi dari luar Palestin menetap di Palestin. Mereka dibolehkan melawat Tanah Suci dan berada di sana dalam tempoh tidak melebihi tiga puluh hari dan tetapi tidak dibenarkan menetap di sana.
Menyedari kegawatan yang dialami oleh kerajaan Uthmaniyyah terutama dari segi kewangan akibat hutang negara yang tinggi, para pemimpin Zionis mengambil kesempatan untuk menyogok Sultan Abdul Hamid. Mereka cuba memujuk Sultan menarik balik "decree" tersebut, malah sanggup membeli dan membayar beberapa tanah yang telah menjadi penempatan-penempatan pendatang Yahudi di Palestin. Dalam suasana yang agak darurat ini juga pemimpin pergerakan Zionis menawarkan kepada Sultan untuk melunaskan hutang negara dan menyogok wang peribadi sebanyak 5 juta pound sebagai tukaran melepaskan wilayah Palestin untuk dijadikan negara Kebangsaan Yahudi. Namun, Sultan yang lebih mementingkan amanah dan kemuliaan Islam ini tetap menolaknya.
Pada tahun-tahun sebelum penubuhan rasmi pergerakan Zionisme 1898, pimpinan Yahudi telahpun mengutuskan wakil-wakil mereka menemui Sultan 'Abd al-Hamid, untuk meninjau pandangannya terhadap isu penempatan Yahudi di Palestin. Pada tahun 1896 Theodor Herzl telah mengutuskan Neolenski, seorang wartawan terkenal di Eropah yang agak rapat dengan Sultan 'Abd al-Hamid dan teman rapat T. Herzl menemui Sultan itu untuk menyatakan hasrat Herzl mengenai pelepasan Palestin, namun Sultan menolaknya.
Selepas kegagalan itu, pertubuhan pergerakan Zionis telah menggunakan khidmat pemerintah German, Kaiser William II yang juga sahabat baik kepada Sultan 'Abd al-Hamid bagi memanjangkan hasrat yang sama. Bagaimanana pun usaha itu juga tidak berjaya. Oleh itu, pada tahun 1901 Theodor Herzl telah berjaya mengusahakan satu pertemuan rasmi di antaranya bagi pihak Pertubuhan Bangsa Yahudi Sedunia dengan pihak Sultan. Di dalam pertemuan tersebut itulah Theodor Herzl sendiri telah memohon untuk membeli wilayah Palestin dengan seberapa sahaja harga yang ditentukan oleh Sultan supaya wilayah itu dilepaskan untuk dijadikan sebuah Negara Kebangsaan bagi kaum bangsa Yahudi. Namun Sultan 'Abd al-Hamid tetap menolaknya.
Pada tahun 1902, pergerakan Zionisme telah menggerakkan dua daya usaha yang besar ke arah menjatuhkan kerajaan Uthmaniyyah. Ini dilakukan setelah segala perundingan yang diusahakan oleh Herzl sama ada secara langsung atau secara tidak langsung dengan Sultan Turki telah gagal dan tidak menampakkan sebarang harapan. Pertama Pertubuhan Zionis Sedunia telah menganjurkan "Sidang Kemuncak para Pejuang Kemerdekaan dari Empayar Uthmaniyyah" di Paris. Di antara kumpulan pemisah yang hadir ialah Kesatuan Turki Muda, Gerakan Pemisah Armenia, Gerakan Pemisah Kurdistan dan Gerakan Pemisah Balkan.
Sebagai langkah susulan, Theoder Herzl di atas nama pemimpin pergerakan Zionis Sedunia telah menemui Joseph Chamberlain, Menteri Tanah-Tanah Jajahan British untuk mendapatkan bantuan kuasa besar itu bagi menekan kuasa Turki 'Uthmaniyyah supaya memenuhi tuntutan mereka, setelah segala perundingan yang diusahakan oleh Herzl dengan Sultan Turki gagal dan tidak menampakkan sebarang harapan.
Pertemuan penting itu juga dibuat sebagai memenuhi ketetapan yang telah diputuskan di dalam persidangan pertama Perhimpunan Zionis Sedunia, 1898 sebelumnya, iaitu seandainya Sultan 'Abd al Hamid terus bersikap pasif terhadap permohonan Yahudi mengenai Palestin pemerintah Turki 'Uthmaniyyah dan kerajaannya mesti dijatuhkan. la akan dibuat melalui dua cara, iaitu mencetuskan kekacauan dalaman di wilayah-wilayah kerajaan dan serentak dengan itu mencetuskan satu perang besar yang akan menghapuskan kerajaan itu.
Langkah pertama gerakan Yahudi untuk menjatuhkan Kerajaan 'Uthmaniyyah ialah dengan mewujudkan penentangan dalaman terhadap Kerajaan 'Uthmaniyyah. Ini dibuat terutamanya melalui penubuhan "Kesatuan Turki Muda", pimpinan Mustafa Kamal Ataturk yang melakukan penentangan dari dalaman terhadap pemerintahan Sultan. Dari segi latar belakang keluarga beliau berasal dari Salonika wilayah yang dari segi sejarahnya adalah merupakan satu penempatan Yahudi utama di Anatolia dan menjadi pusat gerakan Meshiah yang diasaskan oleh Sabbatai Zevi pada awal abad ke 17 M.
Setelah gerakan itu dihapuskan oleh kerajaan 'Uthmaniyyah anggota-anggotanya berpura-pura menzahirkan Islam tetapi tetap kekal dengan agama Yahudi sehingga di zaman moden masyarakat mereka dikenali sebagai Yahudi Donmark. Berdasarkan latarbelakang tempat kelahirannya ramai yang menyakini bahawa Mustafa Kamal adalah salah seorang anak kelahiran dari keluarga Yahudi Donmark. Dengan berbekalkan sejarah pengalaman pahit yang pernah dialami oleh masyarakat (Yahudi Donmark) Solanika dengan pemerintah Uthmaniyyah, lebih menyenangkan pihak Zionis mendapat dokongan golongan ini di dalam menghadapi kerajaan Uthmaniyyah. Akhirnya pada tahun 1909, dengan tekanan kuat oleh "Kesatuan Turki Muda", Sultan 'Abd al-Hamid dipecat dari takhta dan digantikan dengan Sultan boneka yang menurut telunjuk "Persatuan".
Berikutan tercetusnya Perang Dunia I, 1914, Zionis Yahudi mengambil kesempatan menyertai Pasukan Bersekutu yang ditunjangi British, Perancis dan Russia (Zionis Kristian) memerangi pakatan German-Turki. Menjelang tamatnya Perang Dunia I di Timur Tengah pada Disember 1917, tentera British di bawah pimpinan Jeneral Lord Allenby telah berjaya menduduki Palestin dan menawan Jerusalem, meliputi wilayah Trans-Jordan di bawah mandat penguasaan yang diterima oleh Pertubuhan Liga Bangsa yang dinamakan "Mandat British". Kejayaan Inggeris dengan dokongan Yahudi Zionis menawan Palestin dan Jerusalem telah menamatkan penguasaan empat abad empayar Turki 'Uthmaniyyah ke atas Tanah Suci itu. Sebagai balasan kepada pertolongan Yahudi Zionis, kerajaan British melalui Menteri Luarnya Lord Arthur James Balfour pada 2 Nov. 1917 telah mengisytiharkan bahawa Negara Kebangsaan Yahudi akan didirikan di atas bumi Palestin. Surat Pengisytiharan itu disampaikan dan dibaca secara rasmi oleh Lord Rothschild, Ketua Persekutuan Zionis British.
Pengisytiharan itu dibuat tanpa merujuk kepada sebarang tarikrh cadangan, namun pihak Zionis Yahudi telah mempersiapkan pasukan bersenjata digelar "Haganah" (pasukan pertahanan) sejak awal tahun-tahun 1920an sebagai persiapan perjuangan bersenjata untuk mempastikan "pengisytiharan Balfore" tetap menjadi kenyataan.
Seterusnya selepas Perang Dunia ke II, kerajaan baru British dan Parti Buruh yang lebih liberal telah menyerahkan kembali mandatnya ke atas Palestin kepada Majlis Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pada Nov I947 (PBB) telah mengisytiharkan pembahagian negara Palestin kepada dua bahagian, Palestin Arab dan Israel. Langkah terbaru dari (PBB) ini telah menimbulkan bantahan dan "penentangan rakyat" dari pihak Arab-Palestin. Mengambil kesempatan dari "penentangan" tersebut pasukan bersenjata pihak Zionis (Haganah) Yahudi segera bertindak melancarkan "perang pembebasan bumi Israel" dan mengisytiharkan penubuhan Negara Kebangsaan Israel pada 14 Mei 1948.
Subscribe to:
Posts (Atom)
Shaykh Abd al-Fattah Abu Ghuddah, Shaykh Abdullah al-Ghumari, Shaykh Muhammad Yasin al-Fadani, Shaykh Ismaeel Zayn, Shaykh Hasan al-Saqqaf and Shaykh Ibrahim al-Khalifah al-Ahsai
