PESANAN PENGENDALI BLOG KEPADA SEMUA AHLI ILMU

Imam Ibnu Asakir, Imam al-Khatib dan Imam al-Hafiz al-Mizzi meriwayatkan sebuah hadis yang berbunyi:

"Apabila akhir umat ini melaknat (generasi) awalnya, maka hendaklah orang-orang yang mempunyai ilmu pada ketika itu menzahirkan ilmunya, sesungguhnya orang yang menyembunyikan ilmu pada waktu tersebut seumpama seseorang yang menyembunyikan apa yang telah diwahyukan kepada (Sayyidina) Muhammad Salallahu Alaihi Wassalam!!!"

Maka apabila lahir golongan yang mencaci dan melaknat para ulama' empat mazhab terdahulu yang mengikut generasi Salafus Soleh, apakah yang telah kita lakukan???

"Mengenal Allah dengan ilmu seperti mendengar gula tapi belum merasai,
Mengenal Allah dengan hati seperti merasai gula"
- Sultanul Auliya Syeikh Abdul Qadir al-Jailani.

Your heart will go back to you.

Your heart will go back to you.
click the picture for more

Tuesday, April 26, 2011

TOKKU PALOH

[tokku+paloh.jpg]
Gambar: Anak Murid Tokku Paloh, Abdul Rahman Limbong

Biodata Tokku Paloh

 Nama sebenar: Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus.
 Asal: Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu, Terengganu.
 Tahun lahir: 1817
 Tahun wafat: 1917 (usia 100 tahun)
 Sumbangan: Ulama besar Terengganu pada abad ke-19.

Penasihat utama Sultan Zainal Abidin III semarakkan semangat jihad Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau tentang penjajah British di Pahang.
ULAMA Besar Terengganu pada abad ke-19, Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus atau Tokku Paloh Idrus, turut dikenali sebagai wali Allah yang penuh keramat serta sangat ditakuti penjajah.
Diceritakan pada suatu ketika, British cuba berunding dengan Sultan Terengganu iaitu Sultan Zainal Abidin III supaya membenarkan mereka menduduki kawasan Bukit Besar tetapi baginda menyuruh penjajah itu menemui Tokku Paloh.
Baginda menyebut, “Terengganu ini ada tuannya, hendaklah berunding dengan tuannya terlebih dulu,” yang mungkin bermaksud bahawa Tokku Paloh adalah orang yang lebih berhak memutuskan permintaan berkenaan.
Mendengar jawapan Sultan Terengganu itu, sepasukan pegawai British kemudian bergerak ke rumah ulama itu untuk berunding. Tokku Paloh mengatakan bahawa mereka boleh ‘mengambil’ Bukit Besar dengan syarat bukit itu dibawa balik ke negeri mereka.
“Kalau untuk mencampuri urusan pentadbiran kami, saya menolak walau atas alasan apa sekalipun tapi kalau hendak tanah, silakan. Isikan ke dalam armada tuan sebanyak mana yang pihak British mahu, ambillah tanah,” demikianlah jawapan ulama besar itu.

Mendengar jawapan sindiran ulama itu, British berasa sakit hati dan cuba menunjukkan kemarahan mereka dengan bangun daripada kerusi yang diduduki. Akan tetapi, dengan izin Allah, secara tiba-tiba kerusi yang diduduki penjajah melekat di punggung mereka.

Lalu Tokku Paloh menyindir, “Bukan Bukit Besar saja yang kamu mahu ambil, tapi kerusi saya pun kamu mahu ambil juga?” sekali gus menyebabkan British beredar dengan perasaan malu.
Selepas peristiwa itu, British cuba berunding untuk kali kedua dan proses itu diadakan di atas kapal perang mereka yang besar. Ia bertujuan untuk mengugut ulama itu secara psikologi kononnya British memiliki angkatan perang yang besar dan mampu menyerang Terengganu jika hasrat mereka menduduki negeri itu dihalang.

Mereka menjemput Tokku Paloh ke kapal berkenaan tetapi ulama itu mengatakan bahawa kapal perang besar itu tak mampu bertahan jika beliau naik.
Pihak British kemudian ketawa mengejek sebaik mendengar kata Tokku Paloh. Ulama itu kemudian naik ke kapal berkenaan dan dengan izin Allah juga, setiap kali Tokku Paloh menyengetkan serbannya ke kanan atau ke kiri, maka kapal besar itu turut senget. Keadaan itu mencemaskan pihak British sehingga mereka membatalkan rundingan itu serta merta.

Pada masa yang lain pula, penjajah itu cuba menghampiri perairan Terengganu tetapi mereka mula ketakutan sebaik melihat negeri itu dijaga pahlawan Melayu yang siap bersenjata sejauh mata memandang. Keadaan itu menyebabkan mereka takut menjajah Terengganu selagi Tokku Paloh masih hidup.
Demikianlah antara beberapa kisah Tokku Paloh, seorang ulama besar yang berjaya menyekat penjajahan British pada peringkat awal di Terengganu.

Selain menjadi guru kepada Sultan Zainal Abidin III dan Haji Abdul Rahman Limbong iaitu pejuang penentang penjajah di Terengganu, ulama itu turut bertanggungjawab menyemarakkan semangat jihad di kalangan pejuang menentang penjajah di Pahang iaitu Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau.
Peristiwa itu berlaku apabila pasukan pimpinan Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau
hampir-hampir menyerah diri selepas mengalami tekanan dan serangan berterusan daripada tentera penjajah pimpinan Residen British, Hugh Clifford.

Keadaan tersepit itu menyebabkan mereka berlindung di hutan Terengganu dan menghubungi Tokku Paloh pada Mei 1894. Sebaik bertemu dengan ulama itu, mereka diberi perlindungan dan diajar ilmu untuk menentang musuh.
Hasil perguruan singkat dengan ulama itu menyebabkan semangat kumpulan pejuang terbabit kembali membara dan mereka terus tekad melancarkan jihad menentang penjajah British di Pahang.
Walaupun dikenali sebagai ulama, Tokku Paloh turut membabitkan diri dalam bidang pentadbiran dan diplomatik di Terengganu apabila dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Terengganu selain penasihat utama Sultan dalam pelbagai hal.

Malah, ketegasan dan kepintarannya dalam hal ehwal diplomatik menyebabkan ulama itu sering diberi peluang mewakili Sultan untuk berunding dengan British hingga penjajah itu gagal menawan Terengganu.
Tokku Paloh dilahirkan pada 1817 di Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu. Ulama itu mendapat pendidikan awal daripada bapanya sendiri iaitu Saiyid Muhammad al-Aidrus atau dikenali Tokku Tuan Besar, selain beberapa ulama tempatan sebelum berhijrah ke Makkah untuk mendalami ilmu agama dan menimba pengalaman.

Sekembalinya dari Makkah selepas kira-kira 10 tahun menuntut ilmu di sana, Tokku Paloh terus mengajar di masjid peninggalan ayahnya di Kampung Cabang Tiga, Terengganu sebelum membabitkan diri dalam bidang pentadbiran negeri.
Tokku Paloh memiliki banyak ilmu dalam bidang kerohanian terutama ilmu tasawauf dan sufi. Beliau juga menjadi khalifah kepada Tareqat Naqsyabandiah dan turut mengamal serta mengembangkan amalan Syahadat Tokku iaitu satu amalan yang disusun oleh bapanya.
Kepercayaan Sultan Terengganu terhadap dirinya menyebabkan Tokku Paloh diamanahkan Sultan Zainal Abidin III untuk mentadbir kawasan Paloh selain mengawasi beberapa daerah di Hulu Terengganu antaranya Kuala Berang hingga Cabang Tiga.

Dalam usaha memastikan kawasan pentadbirannya terhindar daripada perbuatan maksiat dan pelanggaran undang-undang, Tokku Paloh menubuhkan pasukan penguat kuasanya sendiri yang dikenali sebagai Budak Raja. Pasukan Budak Raja ditugaskan menjaga keamanan sama seperti fungsi pasukan polis pada hari ini.
Bagi memastikan keselamatan dan kebajikan masyarakat setempat terjaga, Tokku Paloh gemar keluar pada malam hari malah pada hari tertentu, beliau keluar dengan mengenakan kain selubung di kepala.
Tindakannya itu bertujuan membolehkan beliau meninjau kehidupan masyarakat dan sekiranya beliau mendapati ada perkara tidak baik berlaku, Tokku Paloh akan memerintah Budak Raja membuat tangkapan pada keesokan hari.

Ulama itu juga memiliki mahkamah sendiri di Paloh untuk mengadili pesalah di kawasan pentadbirannya. Usaha beliau itu mendapat perkenan daripada pihak istana.
Hubungan rapat antara Tokku Paloh dan Sultan Zainal Abidin menyebabkan baginda menyerahkan puteranya iaitu Tengku Sulaiman untuk dijadikan anak angkat dan murid Tokku Paloh.
Malah, seorang daripada isteri Tukku Paloh iaitu Tengku Mandak ialah kekanda Sultan Zainal Abidin III sendiri.

Tokku Paloh meninggal dunia pada September 1917 selepas jatuh sakit pada usia 100 tahun. Tidak lama kemudian, Sultan Zainal Abidin III mangkat pada 26 November 1918. Selepas kewafatan ulama itu, barulah British berani dan berjaya menjajah Terengganu pada 24 Mei 1919.


al faqir menambah:

ulama yang sebenar adalah ulama yang mengambil tahu tentang keadaan rakyat dan siasah(politik) semasa, mencari jalan keluar dari permasalahan mengikut acuan Allah dan Rasul, berusaha menjalankan amar makruf nahi munkar dan melindungi tanah air dari ancaman luar.

3 comments:

  1. Syed Abdullah Al-AydarusFebruary 26, 2013 at 4:46 PM

    Assalamualaikum...
    afwan... saya adalah cuit kepada Tok Ku Paloh...
    gambar di atas ini bukanlah gambar sebenar Tok Ku Paloh, kerana Tok Ku Paloh x dpt diambil atau dilukis wajahnya... itu adalah gambar Abdul Rahman Limbong salah seorang anak muridnya... wallahuallam...

    ReplyDelete
  2. Tajuk PBS Sej form 6 saya berkenaan beliau . Salute ! [ Farahh Zulkifli ]

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

Recent Posts

There was an error in this gadget

Shaykh Abd al-Fattah Abu Ghuddah, Shaykh Abdullah al-Ghumari, Shaykh Muhammad Yasin al-Fadani, Shaykh Ismaeel Zayn, Shaykh Hasan al-Saqqaf and Shaykh Ibrahim al-Khalifah al-Ahsai

Cinta/Love/Mahabbah/Pyiar

Beautiful advice for the seeker of truth (Al Habib Ali Zainal Abidin Al Jufri)